Sunday, August 12, 2007

SURAT PKGPBM KEPADA MDeC

Puan Faridah,

Lanjutan perbincangan antara puan dan saya di MDeC pada Jumaat, 10 Ogos 2007,
berikut adalah gambaran lebih lanjut mengenai cadangan perjawatan Guru Penyelaras
Bestari Cemerlang di Sekolah Bestari Perdana.

Jawatan Guru Penyelaras Bestari (GPB) dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan awam
(JPA) melalui waran perjawatan yang dikeluarkan pada tahun 1999 bersempena dengan
Projek Rintis Sekolah Bestari. Jawatan GPB adalah jawatan baru yang diwujudkan di
sekolah bestari atas norma 'over' dan 'above' yang membawa maksud penyandang jawatan
ini tidak termasuk dalam perkiraan norma perjawatan guru yang diterima pakai (1.5
guru per kelas) pada waktu itu. Jawatan ini adalah jawatan yang diwujudkan untuk
menguruskan hal ehwal pengurusan infrastruktur ICT dan lain-lain perkara yang
berkaitan dengan Projek Rintis Sekolah Bestari. Penyandang jawatan ini dipilih oleh
pihak sekolah dan dilantik oleh Bahagian Sekolah tanpa mengira kelayakan ikhtisas.
Syarat paling penting pada ketika itu ialah mempunyai minat yang mendalam dalam hal
ehwal ICT dan mempunyai pengetahuan untuk menguruskan permasalahan ICT di sekolah
bestari rintis.
Projek Rintis Sekolah Bestari telah lama berlalu dan pada masa kini, Kementerian
Pelajaran giat memfokus ke arah pelan pembestarian sekolah. Jawatan GPB di seluruh
negara masih kekal dengan angka keramat '88'. Setelah 7 tahun berlalu, jawatan ini
masih lagi berstatus sama seperti tahun pertama ianya diperkenalkan dimana
penyandang jawatan ini tidak mempunyai laluan kerjaya yang baik untuk melangkah maju
ke hadapan memandangkan mereka bukanlah 'guru' dalam erti kata yang sebenar dan
tidak layak untuk dicalonkan/mencalonkan diri sebagai Guru Cemerlang (GC) yang hanya
terbuka untuk guru yang mengajar subjek sahaja.

70 % daripada 88 orang GPB Sekolah Bestari Rintis masih lagi setia dengan jawatan
ini di skeolah masing-masing untuk mengemudi dan merealisasikan hasrat kerajaan
untuk membestarikan sekolah walaupun menempuh pelbagai ranjau dan halangan berduri
sama ada diperingkat sekolah mahupun kerana sebab-sebab lain seperti infrastruktur
yang usang, implemantasi projek baru yang menimbulkan masalah seperti School Net dan
Kaspersky Anti Virus serta kegagalan WSMS memenuhi keperluan guru dan sekolah.

Perjawatan ini merupakan perjawatan yang unik kerana menghimpunkan semua pihak yang
mempunyai gred dan kelayakan ikhtisas yang berbeza. Sebahagian bergred 48 (KUP) , 44
(KUP), 41 , 32 (KUP) dan juga 29. Disamping itu, seorang GPB baru sahaja menamatkan
perkhidmatan selepas bersara daripada perkhidmatan awam dan seorang lagi meningggal
dunia dalam jawatan disamping berpuluh-puluh yang lain meninggalkan jawatan ini
untuk menjadi 'guru' yang sejati.

Sehubungan itu, demi untuk memartabat dan meningkatkan status Sekolah Bestari
Perdana, adalah wajar kiranya soal laluan kerjaya GPB diambil kira oleh semua pihak
yang berkepentingan dalam merangka hala tuju Sekolah Bestari/ Pembestarian Sekolah
yang seterusnya. Cadangan kami adalah seperti berikut :-

MEWUJUDKAN KATEGORI GURU PENYELARAS BESTARI CEMERLANG yang setara dengan perjawatan
GURU CEMERLANG SUBJEK yang sedia ada sekarang.

Terma Perjawatan yang dicadangkan adalah seperti berikut :-

Untuk GRED 32/44

- Pengalaman berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah selama 7 tahun di Gred
29/41.
- Telah disahkan dalam jawatan.
- Telah disahkan laporan pengisytiharan harta.
- Pengalaman sebagai Guru Penyelaras Bestari di Sekolah Bestari selama 5 tahun. (2
tahun + 5 tahun).
- Mendapat Laporan Nilaian Prestasi yang cemerlang dalam tempoh 3 tahun kebelakangan.
- Telah lulus PTK .
- Lulus Tapisan Keutuhan BPR.

Untuk ke Gred 48 (KUP)

- Berkhidmat sebagai GPB selama 4 tahun berturut-turut dalam Gred 44 (KUP).
- Lulus PTK.

Untuk ke Gred 52 (KUP)

- Berkhidmat sebagai GPB selama 4 tahun berturut-turut dalam gred 48 (KUP).

Untuk ke Gred 54 (KUP)

- Berkhidmat sebagai GPB selama 4 tahun berturut-turut dalam gred 52 (KUP).

Untuk ke Gred Khas C (KUP)

- Berkhidmat sebagai GPB selama 3 tahun berturut-turut dalam gred 54 (KUP).

Semoga cadangan ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak MDeC untuk
dijadikan sebagai sebahagian polisi dalam Program Pembestarian Sekolah.

Saya yang benar,

(AB AZIZ BIN MAMAT)
Presiden Penaja
Persidangan Kebangsaan Guru Penyelaras Bestari Malaysia (PKGPBM)